Monday, January 27, 2014

PENYELAMAT DARI KESESATAN & HAMBA YANG TERDEKAT DENGAN ALLAH DAN TANDA-TANDANYA

by Ziela Mohd on Monday, 16 July 2012 at 03:19 ·


 Yatimah Sarmani & Mohd. Tajuddin Mingal menulis menerusi bukunya Teori Kaunseling Al-Ghazali, Mengenal Ilmu, Sejarah dan Kandungan Al-Qur’an:

 HURAIAN BERKENAAN SIFAT MANUSIA
Antara ayat-ayat Al-Qur’an yang mengungkap persoalan akal ini adalah pernyataan Allah dalam surah al-Maidah ayat 58 dan surah Yunus ayat 100 yang bermaksud,
“Dan apabila kamu menyeru (mereka) untuk mengerjakan sembahyang, mereka menjadikannya buah ejekan dan permainan. Yang demikian itu adalah kerana mereka benar-benar kaum yang tidak mahu menggunakan akal”
“Dan tidak ada seorang pun akan beriman kecuali dengan izin Allah; dan Allah menimpakan kemurkaan kepada orang-orang yang tidak mempergunakan akalnya.”
Rumusan yang dapat dibuat berdasarkan huraian al-Ghazali berkenaan sifat-sifat manusia adalah, ia sangat dipengaruhi oleh aspek-aspek dalaman iaitu roh, hati, nafsu, dan akal. Semuanya teradun dalam diri manusia yang saling melengkapi antara satu sama lain. Ia dapat dikesan daripada sikap serta tingkah lakunya.
Oleh itu, apabila manusia mahu berubah terutamanya daripada buruk kepada baik, langkah utama yang perlu dibuat adalah membetulkan aspek-aspek dalaman. Pendekatan yang diambil perlu bersepadu. Tidak boleh dibuat secara berasingan seperti menumpukan pada roh, akal, hati ataupun nafsu sahaja.
Membetulkan aspek-aspek dalaman tidak dapat dilakukan berdasarkan rasional semata-mata ataupun sekadar membuat latihan-latihan tertentu. Ia perlu kembali kepada tuntutan syarak kerana ada perkara-perkara dalam kehidupan ini tidak mampu dihuraikan hanya berdasarkan rasional sahaja. Contohnya persoalan roh, keupayaan orang mengesan perkara-perkara yang belum berlaku (kasyaf) dan orang yang mendapat ilmu ladunni (ilmu yang dikurniakan oleh Allah kepada orang-orang yang dikehendaki). Bagi memahami dengan lebih jelas huraian sifat-sifat manusia di dalam kitab Ihya’ Ulumiddin, adalah baik jika membaca juga kitab beliau ‘Penyelamat dari Kesesatan’.

PENYELAMAT DARI KESESATAN
Penyelamat daripada kesesatan adalah huraian berkenaan tasawuf oleh al-Ghazali didalam karyanya ‘Munqidh Min al-Dalal’. Ia membuktikan beliau teliti menjaga kefahaman dan penghayatan dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah. Ia menjadikan beliau terkenal sebagai salah seorang tokoh ilmu tasawuf. Ini kerana, ada di kalangan orang yang menganggap Al-Ghazali terpengaruh dengan aliran falsafah Greek.
                Gaya penulisan Al-Ghazali di dalam kitab ini lebih bercorak autobiografi. Ia menerangkan pengalamannya mencari ilmu, pengembaraan sufi dan cara sebaik-baiknya memperbaiki penyakit masyarakat. Minat yang mendalam serta polemic yang melanda tasawuf mendorong beliau menyelami dan mengkaji selok belok tasawuf. Hasil kajian dan penulisan beliau mengembalikan kemurnian tasawuf dalam ajaran Islam. Selain itu, ia mengelakkan orang lain daripada terperangkap dengan unsur-unsur ajaib, penjelmaan, pendewaan dan pelbagai kesesatan lain.
                Pelbagai pengertian ilmu tasawuf diberikan oleh para ulama dan para pengkaji bidang ini. Antaranya adalah menurut al-Baghdadi yang mengatakan tasawuf sebagai keluar dari budi pekerti pada tercela kepada budi pekerti terpuji. Abul Wafa’ al-Ghanimi al-Taftazani menegaskan, tasawuf secara umum adalah falsafah hidup dan cara tertentu dan dalam tindak tanduk perjalanan hidup individu untuk sampai  kepada kesempurnaan akhlak, mengetahui dan mengenal hakikat dan mencapai kebahagiaan rohani.
                Justeru al-Ghazali membahagikan aliran-aliran pencari kebenaran kepada 4 golongan iaitu:
1)      Al-Mutakallimin atau ahli ilmu kalam yang bertujuan memelihara dan menjaga akidah ahli sunnah supaya tidak terpengaruh dengan perkara-perkara bidaah.
2)      Al-falasifah atau ahli falsafah yang banyak menggunakan lojik akal dan pembuktian.
3)      Al-Batiniyyah atau al-ta’limiyyah iaitu ahli-ahlinya mendakwa menerima ilmu daripada imam maksum. Sebahagian aliran ini dikenali juga sebagai Ismailiyyah yang kuat mempengaruhi golongan syiah. AL-Ghazali dan beberapa tokoh tasawuf seperti Jamal al-Din al-Afghani dan Ibn Arabi menolak fahaman batiniyyah ini.
4)      Al-Sufiyyah atau ahli tasawuf iaitu mereka yang berusaha membersih dan menjaga hati dan amal supaya sentiasa berdamping dengan Allah S.W.T. Mereka juga sentiasa bermusyahadah dan bermukasyafah.
Selepas mengkaji keempat-empat aliran mencari kebenaran, al-Ghazali lebih tertarik kepada tasawuf. Beliau menganggap ia adalah kaedah yang benar bagi mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Perkara ini terkandung dalam karyanya Ihya’ Ulumiddin yang menggarap persoalan ilmu dan amal bagi melaksanakan syariat Islam keseluruhannya. Ia bertepatan dengan kenyataannya, “Tahulah aku bahawa jalan orang tasawuf itu hanya sempurna apakala ilmu itu disertakan dengan amal.” Tujuan orang tasawuf beramal adalah bagi:
*Membebaskan jiwa daripada belenggu hawa nafsu
*Membersihkan diri daripada akhlak keji
*Menjauhkan diri daripada sifat-sifat tercela
*Menjauhkan diri daripada mengingati perkara-perkara yang tidak membawa faedah selain daripada mengingati Allah.

Bukan perkara mudah bagi mendapatkan keadaan seperti ini. Katanya, “Bagiku, ilmu tasawuf senang dituntut tetapi sukar diamalkan.” Ia memerlukan pengorbanan dan kesungguhan.
                Al-Ghazali tidak hanya menekankan ilmu tasawuf daripada sudut teori semata-mata, tetapi beliau melalui proses praktikal yang memakan masa 10 tahun (488H/1095M-499H/1106M). Beliau sanggup meninggalkan kedudukannya sebagai mahaguru di Neyshabur, Iran untuk beruzlah di Syria, Baitulmaqdis, mengerjakan haji ke Mekah dan melawat Madinah. Akhirnya, beliau kembali semula mengajar di Universiti Nizamiyyah, cawangan Neyshabur sebelum meninggal dunia pada tahun 505H/1111M.
                Oleh itu, tuduhan-tuduhan serong pada golongan tasawuf sebagai menolak dunia, hidup di dalam alamnya yang tersendiri dan sesat adalah tidak berasas. Ini sesuai dengan kenyataan al-Ghazali, “Aku menggeledah ke segenap liku-likunya yang bahaya. Aku rondai segenap kegelapan. Aku serbu setiap kemusykilan. Aku rempuh setiap liku dan jurang yang dalam.”
                Proses penerokaan dan kajian ini disusuli pula dengan proses analisis yang menepati kajian ilmiah dengan katanya, “Aku meneliti akidah kepercayaan setiap puak. Aku dedahkan rahsia-rahsia ajaran tiap-tiap kumpulan. Semuanya ini dengan tujuan hendak membezakan yang benar (hak) dan yang palsu (batil), yang menurut sunnah Rasulullah dan yang bidaah.”
                Penekanan al-Ghazali berkaitan dengan aspek dalaman manusia khususnya peranan hati, juga berasaskan pengalaman peribadi. Beliau mengalami konflik selama 6 bulan bagi membuat keputusan sama ada pergi beruzlah dengan meninggalkan kedudukan dan jawatan ataupun kekal dengan kemasyhuran sedia ada.
                Akhirnya, al-Ghazali mengalami penyakit kelu lidah untuk berkata-kata dan tidak dapat meneruskan tugas mengajar. Keadaan bisu dan dukacita yang dialami menyebabkan timbul masalah system pencernaan dan tidak berselera makan yang menjadikannya semakin tenat. Para doctor yang merawat beliau mengatakan, penyakit yang dialami berpunca daripada hati dan meresap ke seluruh badan. Hanya satu sahaja cara menyembuhkannya iaitu membuang rahsia yang menyebabkan hati menjadi duka.
                Penderitaan yang dialami oleh al-Ghazali menyebabkan beliau membulatkan tekad untuk beruzlah, berserah diri kepada Allah dengan meninggalkan keluarga, harta dan kedudukan. Beliau melakukan uzlah, khalwah, riadah, dan mujahadah dalam usaha menyucikan diri, meluhurkan akhlak, membersihkan hati dengan mengingati Allah menurut cara ilmu tasawuf yang dipelajari sebelumnya sehingga mendapat kasyaf (dapat melihat atau merasai alam ghaib dengan izin Allah).
                Hasil daripada pengalaman beruzlah dan berkhalwah, al-Gahazali mendapati ada 4 punca yang menyebabkan iktikad dan iman orang menjadi lemah sehingga tidak mengamalkan cara hidup yang dibawa oleh para nabi, iaitu:
1)      Berpunca daripada orang yang berkecimpung dalam ilmu falsafah; berasal dari Greek yang bermaksud mencintai kebijaksanaan. Perkembangan falsafah pada zaman al-Ghazali, iaitu zaman pertengahan (kurun ke 12 Masehi) mempunyai 2 ciri utama. Ciri pertama menumpukan pada soal-soal agama dan ketuhanan semata-mata. Ciri kedua adalah hasil pemikiran manusia yang spekulatif dan sains sebagai hasil pemikiran manusia  yang berdasarkan uji kaji serta pengamatan sahaja. Al-Ghazali mengkritik mereka kerana huraian yang diberi hanya pengetahuan berasaskan pemikiran, tidak merujuk pada sumber wahyu. Falsafah sedemikian bercanggah dengan Islam. 
2)      Berpunca daripada orang yang berkecimpung dalam tasawuf; yang tidak mengikut tertib ilmu Islam iaitu ilmu akidah, ilmu syariat, dan akhlak. Mereka menganggap diri mereka sudah sampai ke martabat tinggi dan tidak perlu mengerjakan amal ibadat biasa seperti sembahyang, puasa, zakat, dan haji serta hal-hal kemasyarakatan.  
3)      Berpunca daripada orang-orang yang terpengaruh dengan dakwah Ta’limiyyah; fahaman kebatinan yang mengelirukan. Ia adalah ajaran sesat yang merosakkan akidah kerana percaya kepada imam maksum yang menyamai taraf Nabi Muhammad. Mereka terjerat oleh sumpah setia kepada ketua kumpulan dan biasanya bergerak secara rahsia.
4)      Berpunca daripada perlakuan orang kenamaan dan alim pada mata orang ramai (mutawassimin). Mereka menganut fahaman falsafah dan melakukan sesuatu mengikut lojik akal. Contohnya, orang yang membaca Al-Qur’an, mengerjakan sembahyang, puasa, zakat, dan haji serta bercakap hal-hal agama dengan bersemangat, tetapi meminum arak, serta melakukan perkara-perkara maksiat lain. Mereka member alasan seperti ‘minyak dan air tidak bercampur’ ataupun bagi tujuan perubatan dan sebagainya bagi membenarkan perlakuannya.
Rumusan yang dibuat oleh al-Ghazali ini diperolehi dengan melakukan kajian yang bercorak kualitatif. Beberapa persoalan bermain di jiwa beliau dan ia boleh dianggap sebagai persoalan kajian. Persoalan-persoalan itu adalah:
1)      Siapakah yang mengabaikan perintah syarak?
2)      Apakah keraguan yang mendorongnya berbuat demikian?
3)      Apakah akidah dan rahsia yang menjadi pegangannya?
Berdasarkan persoalan-persoalan itu, al-Ghazali bertanyakan kepada orang-orang yang ditemuinya dengan soalan-soalan berikut:
1)      Mengapa anda mengabaikan suruhan tuhan?
2)      Sekiranya anda beriman dengan Hari Akhirat, mengapa tidak bersedia membekalkan diri ke sana, malah anda tukarkan Akhirat dengan dunia?
3)      Teliti baik-baik dan cari sebab-sebab dan di manakah puncanya yang menjadikan anda memendamkan kufur di lubuk jiwa?
Al-Ghazali yakin, kufur terpendam yang menjadi pegangan individu itu yang menyebabkan sikap berani melakukan apa sahaja secara terang-terangan. Walaupun tidak mengisytiharkan dirinya kufur kepada masyarakat, individu itu bermuka-muka dengan topeng iman dan berpura-pura hormat apabila disebut peraturan syarak. Ia mengaku segala peraturan yang Allah syariatkan adalah benar, tetapi berat melaksanakannya.
                Hal ini berlaku mungkin disebabkan jahil kerana tidak meluangkan masa mempelajari ilmu-ilmu yang sepatutnya diketahui oleh Muslim ataupun sukar meninggalkan segala perkara yang menjadi kebiasaan. Contohnya, orang yang suka berjudi berasa marah apabila dikuatkuasakan undang-undang menutup pusat-pusat perjudian.
                Berdasarkan jawapan-jawapan yang diterima daripada orang-orang yang ditemui, beliau mendapati wujud 5 golongan orang yang bermuka-muka dengan Islam.
Golongan pertama: Orang yang menghalalkan perbuatan mungkar kerana jahil dengan mengatakan ada ramai orang alim yang sepatutnya menjadi contoh tauladan tetapi melakukan perkara-perkara yang melanggar syarak seperti tidak sembahyang, minum arak, makan hartya anak yatim dan banyak lagi contoh-contoh yang seumapamanya.
Golongan kedua: Orang yang mengaku dirinya sebagai ahli tasawuf. Dia menyangka dirinya sudah sampai ke martabat yang tidak perlu mengerjakan amal ibadat biasa.
Golongan ketiga: Orang yang mengemukakan beberapa keraguan dan syubhah sebagai alasan menurut model syubhah iaitu perkara harus belaka bagi golongan ini, tidak ada yang haram, makruh, sunat, dan wajib. Mereka adalah penganut ajaran tasawuf sesat.
Golongan keempat: Orang yang berfahaman ta’limiyyah iaitu yakin dengan guru yang maksum. Oleh itu, tidak perlu lagi mengikut ijtihad para ulama yang belum tentu kebenarannya.
Golongan kelima: Ahli-ahli falsafah yang bersandarkan pada hikmah dan maslahat iaitu setiap perlakuan ada tujuan di sebaliknya. Contohnya beramal ibadat adalah bertujuan mencegah orang awam daripada berbunuh-bunuhan ataupun bermusuh-musuhan sesame sendiri serta mengikut hawa nafsu. Mereka mencari alasan dan memberi pelbagai helah supaya tidak melaksanakan ketetapan syarak sedangkan Allah mengutuskan para nabi dan rasul bagi memberi petunjuk kepada umat manusia. Para nabi dan rasul diutuskan bagi menunjukkan cara menjalani kehidupan dunia ini dengan sebaik-baiknya.
                Al-Ghazali melihat segala masalah yang melanda umat manusia disebabkan oleh kelalaian mereka memahami hakikat kenabian. Mereka tidak menjadikan nabi sebagai contoh tauladan dalam kehidupan. Menyedari masalah yang dihadapi oleh masyarakatnya yang semakin jauh daripada ajaran Nabi Muhammad s.a.w, al-Ghazali kembali menjalankan tugas mengajar. Beliau tidak lagi memikirkan pangkat dan kedudukan, tetapi berbakti semata-mata kerana Allah demi menyelamatkan umat Islam yang semakin lemah.

 Imam Al-Ghazali dalam bukunya Menimbang Amalan Dan Meraih Kejayaan Akhirat:

HAMBA YANG TERDEKAT DENGAN ALLAH S.W.T DAN TANDA-TANDANYA:

Apabila anda menanyakan apakah tingkatan terakhir seseorang yang menempuh jalan Allah akan berhujung pada pengangguran kewajipan-kewajipan dan keadaan dimana seseorang tidak dapat terpengaruhi oleh bahaya yang terkandung di dalam larangan-larangan Allah S.W.T. tersebut, sebagaimana dikatakan oleh sebahagian para pelaku tasauf yang cenderung mempermudah permasalahan?
                Ini adalah pemikiran yang keliru. Para ulama sufi pernah berkata: “Seandainya engkau menyaksikan seorang yang dapat berjalan di atas air, namun dia melakukan perbuatan-perbuatan yang menyimpang dari ketentuan syarak maka pastikanlah bahawa orang itu adalah syaitan.” Begitulah pemikiran yang benar.
                Ketentuan syari’ah yang benar sungguh sangat toleran. Ia memberikan rukhshah (keringanan) kepada seseorang yang dalam keadaan sangat mendesak dan terpaksa. Barangsiapa bersikap berlebih-lebihan terhadap keringanan ini, bererti dia hanya mengikuti hawa nafsunya semata. Seseorang yang selama di dunia merasa tidak aman dari godaan hawa nafsu, maka sebaiknya dia bersikap waspada terhadap godaan yang akan menjerumuskannya untuk melakukan perbuatan yang menyimpang dari ketentuan agama. Sebaliknya, seseorang yang mampu membersihkan jiwanya dari pengaruh godaan hawa nafsu dan mengisi jiwanya dengan ilmu-ilmu hakikat, maka dia semakin giat melaksanakan aktiviti ibadah. Bahkan solat yang dikerjakannya sangat menyenangkan dan kesendiriannya di waktu tengah malam untuk bermunajat kepada Allah S.W.T. adalah sesuatu yang paling nikmat di antara kenikmatan-kenikmatan yang lain.
                Tanda seperti ini hendaknya melekat pada diri seseorang yang ingin menapaki jalan Allah, sejak awal sampai akhir perjalanannya, meskipun sebenarnya perjalanan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. tidak ada batas akhirnya. Hanya kematianlah yang mampu menghentikan perjalanan ini. Sehingga manusia, sesudah kematiannya, berada pada tingkatan yang telah berhasil dia capai selama hidupnya.
                Hatinya sentiasa terpaut dengan Allah S.W.T. tanpa keterpaksaan, sehingga dia merasa sangat menikmatinya. Kehadiran Tuhan di dalam hatinya baru terwujud setelah kebesaran dan kemuliaan Allah diperlihatkan kepadanya. Dia juga menerapkan keadaan ini di dalam kehidupan kesehariannya, seperti ketika sedang makan atau minum, atau kegiatan-kegiatan lainnya. Ia seperti keadaan seorang yang semalam suntuk menantikan kedatangan kekasihnya, tanpa mempedulikan rasa penat yang mengganggunya. Maka, ketika kekasihnya itu datang, dia merasakan kegembiraan yang tak terhingga. Dia sentiasa memenuhi segala permintaannya. Namun dia akhirnya mesti berpisah dengannya. Meskipun secara fizik dia mesti berpisah, namun secara batin fikirannya tetap terpaut dengan kekasihnya. Ketika seseorang mengajaknya berbicara, dia tidak akan menghiraukannya kerana pada waktu itu fikirannya masih terpusat pada kekasih hatinya, dan tidak akan ada sesuatu pun yang mampu mengalihkan perhatiannya. Oleh kerana itu, sebaiknya seorang yang sedang menempuh jalan Allah juga bersikap serupa terhadap perkara-perkara yang bersifat keduniaan. Termasuk ketika dia tengah melakukan kegiatan-kegiatan keseharian. Hendaknya senantiasa menghadirkan Tuhan ke dalam hatinya, sekaligus menepis segala bentuk pengaruh yang mengganggunya. Hal ini kerana dia telah berhasil mendekatkan diri kepada-Nya dan menyaksikan kemuliaan serta kebesaran Allah S.W.T. yang pada hakikatnya tidak ada batas akhirnya.
                Jadi, perjalanan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. ini tidak akan dapat berlangsung secara sempurna kecuali dengan tekad kuat dan upaya sungguh-sungguh. Tekad kuat dan upaya sungguh-sungguh hanya dapat dicapai dengan pengetahuan mengenai keindahan yang terdapat di dalam suatu yang dituju yang selanjutnya akan menimbulkan rasa kecintaan dan kerinduan kepadanya. Sedangkan pengetahuan ini didapatkan dengan mengarahkan sepenuhnya perhatian dirinya kepada sesuatu yang hendak digapainya, serta memalingkan perhatiannya dari perkara-perkara selain itu. Dengan demikian, dia mengarahkan gerak langkahnya berdasarkan pancaran kebesaran dan kemuliaan Allah S.W.T. Rasa cinta yang terjalin antara keduanya akan semakin bertambah seiring dengan semakin lamanya kebersamaan yang dijalani. Sebagaimana orang pemula yang baru pertama kali menapaki jalan Allah, dia merasa rasa cintanya kepada Allah begitu lemah. Namun kerana dia sangat tekun merenungkan kebesaran-Nya maka rasa cintanya itu tanpa terasa telah menjadi berlipat ganda. Keadaan dirinya seperti seseorang yang senantiasa berada dekat dengan kekasihnya. Maka dia juga sangat menginginkan untuk selalu dekat dengan Allah S.W.T., meskipun kedekatan itu bukan bererti kedekatan fizik, tetapi kedekatan dalam makna kesempurnaan diri. Yakni mampu menyaksikan kebesaran Allah dengan sangat jelas. Upaya pendekatan diri kepada Tuhan ini seperti upaya seorang murid yang ingin mendekatkan dirinya kepada gurunya sedikit demi sedikit, kendatipun hal ini kadang-kadang tidak sepenuhnya mendatangkan keberhasilan kerana jarak antara keduanya terlalu jauh. Namun demikian, apabila bersungguh-sungguh orang yang berada pada tingkatan yang paling rendah sekalipun dapat mencapai tingkatan tertinggi, tentu saja, keberhasilannya itu tidak diperolehnya hanya dengan satu langkah sekaligus, akan tetapi diperolehnya setelah melewati sekian banyak tahapan-tahapan. Biasanya orang yang berhasil mencapai suatu tingkatan tertentu, ia akan mengarahkan pandangannya kepada tingkatan lain yang lebih tinggi. Seseorang yang tidak mempunyai pengetahuan keagamaan yang cukup, sebaiknya mengupayakan dirinya agar seperti para nabi itu seperti para malaikat. Maka apabila mereka berhasil membersihkan dirinya dari sifat-sifat kemanusiaannya secara umum, mereka seakan-akan berubah menjadi malaikat, meskipun tetap dalam wujud manusia.
                Para malaikat juga terdiri daripada beberapa tingkatan, mulai dari tingkatan yang rendah sampai tertinggi. Yang paling tingggi adalah tingkatan yang ditempati oleh para malaikat Al-muqarrabun (yang kedudukannya paling dekat dengan Allah  S.W.T)yang antara mereka dengan Allah S.W.T tidak terdapat perantara lain. Sehingga mereka mempunyai  kemuliaan yang begitu amat sempurna dibandingkan dengan makhluk makhluk lain yang tingkatannya berada dibawah mereka.
                Segala kesempurnaan dan keindahan yang ada pada makhluk jika dibandingkan dengan keindahan Allah sangatlah tidak bererti. Demikianlah semestinya seseorang meyakini bahawa pendekatan diri kepada Allah S.W.T. tidak melalui pendekatan seperti ketika mendekati sebuah rumah yang ada di syurga dengan pertama kali mendatangi pintu rumah  itu, kerana yang didekati adalah Allah S.W.T. Tuhan Yang Maha Mulia. Ataupun tidak dengan mempersembahkan amal ibadat kita sebagai hadiah demi mendapatkan kesenangan, sebagaimana seorang yang mendekatkan dirinya kepada seorang raja supaya si raja memperhatikannya sang raja. Tentunya pendekatan kepada Allah S.W.T. tidak dapat diserupakan dengan pendekatan kepada seorang raja. Orang yang ingin mendapatkan kerelaan, menyenangkan dan menghindari murka seorang raja, baginya cukup melayaninya dan menuruti titahnya.
                Sekali lagi, keyakinan yang menyerupakan pendekatan diri kepada Allah dengan seorang raja adalah tidak wajar. Apabila anda mengatakan bahawa sebahagian besar orang awam bersikap demikian, maka perlu dinyatakan kepada mereka. Apakah berhasil orang yang ingin mendapatkan minyak wangi , namun dia pergi ke tukang samak kulit? Bagaimana dapat mendapatkan suatu kedudukan, sementara anda yang sebenarnya telah mengetahui bahawa kebenaran itu hanya didapatkan terus dari ahlinya, justeru nekad mengambilnya dari yang lainnya? Maka tidak ada bezanya antara anda dengan keldai jahil. Apakah anda tidak melihat orang-orang yang berkeyakinan bahawa Allah S.W.T duduk di atas ‘Arsy di bawah payung hijau atau yang melakukan penyerupaan lainnya, meskipun penyerupaan-penyerupaan yang mereka lakukan itu beraneka ragam? Di antara mereka ada yang menyerupakan Allah di dalam hal bentuk, sehingga menganggapNya mempunyai tangan, kaki, mampu turun mahupun berpindah-pindah. Ada juga yang menyerupakanNya dalam hal sifat kemurkaan manusia, sehingga menanggapi kerelaan, kesenangan, dan kemurkaan. Allah itu sama seperti mereka. Ini semua salah. Sebab Allah sama sekali suci dari perkara-perkara seperti itu. Untuk memahaminya secara benar adalah melalui penakwilan, meskipun bagi tiap orang penakwilan itu berbeza-beza. Jika penakwilan setiap orang sama, maka sabda Nabi s.a.w yang mengatakan: “Barangkali seorang yang mengerti fekah belakangan lebih faham daripada orang pertama. Barangkali orang yang kelihatannya mengerti fekah, sama sekali tidak mengetahui fekah.” Tidak dapat dibenarkan. Oleh kerana itu, sebaiknya kita menjauhi pemikiran yang sebetulnya perangkap syaitan ini.

Rujukan:
YatimahSarmani & Mohd. Tajuddin Mingal (2008). Teori Kaunseling Al-Ghazali, Mengenal Ilmu, Sejarah dan Kandungan Al-Qur’an. Selangor: PTS Islamika Sdn. Bhd..
Al-Ghazali (2008) Menimbang Amal Meraih Kejayaan Akhirat (Terjemahan : Abu Qistina Abdullah, M.A.). Selangor: Pustaka Ilmi .

No comments:

Post a Comment