Sunday, January 26, 2014

Ringkasan Mengenai Alam Ghaib, Sihir, Jin dan Qarin

 Sihir:

Antara sihir yang mudah mempengaruhi manusia adalah sihir gila.

Pernah suatu ketika Rasulullah S.A.W pernah meruqyah orang gila. Rasulullah membuka mulut orang itu sambil membaca perkataan daripada hadis berikut, lalu meludah ke dalam mulut orang gila tadi. Dengan tidak semena-mena, orang itu pun sembuh seperti sedia kala. 
Hadis Rasulullah S.A.W: "Keluarlah wahai musuh Allah, aku ini adalah Rasulullah"
 Rasulullah berkata dalam hadis yang dilaporkan oleh Abu Daud, bab at-Thibb, dan disahihkan oleh Nawawi dalam kitab al-Adzkar:

"Daripada Kharijah binti as-Shalt daripada bapa saudaranya, dia datang kepada Nabi S.A.W lalu masuk Islam kemudian kembali dari sisinya. (Dalam perjalanan) dia melewati suatu kaum yang di antara mereka ada salah seorang yang gila diikat dengan besi, kemudian keluarganya berkata, "Kami mendengar kawanmu ini datang membawa kebaikan, apakah kalian mempunyai sesuatu yang dapat dipakai bagi mengubatinya?" Kemudian saya meruqyahnya dengan al-Fatihah, lalu dia sembuh. Kemudian mereka memberikan saya seratus ekor kambing. kemudian saya menceritakan kepada Rasulullah S.A.W. Lalu Rasulullah S.A.W berkata, "Apakah kamu membaca selain daripada itu?". Saya menjawab, "Tidak." Nabi berkata, "Ambillah pemberian itu, sesungguhnya ada orang yang memakan dengan ruqyah yang batil, sedangkan kamu telah memakan dengan ruqyah yang benar."

Gejala-gejala sihir ini adalah:
1) Bingung
2) Pelupa
3) Bertutur sembarangan
4) Tidak menentu dalam bercerita.
5) Mata yang tidak tenang dan selalu melihat ke sana sini
6) Tidak dapat tenang di suatu tempat
7) Tidak dapat bekerja
8) Tidak mengambil berat pada penampilan diri dan penampilan dalam keadaan kritikal
9) Berjalan ke suatu tempat tanpa disedari
10) Tidur di tempat sunyi

Sihir ini terjadi apabila jin masuk ke dalam jasad orang yang disihir dan berpusat pada otaknya mengikut tugas yang diberikan oleh ahli sihir kepadanya. Kemudian ia menekan sel-sel otak yang berkaitan dengan daya fikir dan daya ingat ataupun dengan cara yang tidak diketahui melainkan Allah. Kemudian akan muncul gejala-gejala itu pada orang yang disihir. 
  
Dalil-dalil Al-Qur'an mengenai hakikat sihir:

"Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: "Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)". Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui." (Al-Baqarah 2:102)


"Mereka berkata: "Dua orang ini (Musa dan Harun), sebenarnya dua ahli sihir yang bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu dengan sihir mereka, dan hendak melenyapkan kepercayaan serta adat peraturan kamu yang utama.Oleh itu, satukanlah segala cara helah kamu, kemudian datanglah beramai-ramai dalam satu barisan untuk menentangnya; dan sesungguhnya beruntunglah orang yang menang pada hari ini. Mereka berkata: "Wahai Musa! Engkaukah yang akan mencampak lebih dahulu atau kamikah yang mula-mula mencampak?" 
Nabi Musa menjawab: "Bahkan kamulah campak dahulu". Tiba-tiba tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka terbayang-bayang kepadanya seolah-olah benda-benda berjalan, disebabkan sihir mereka.  Maka yang demikian menjadikan Nabi Musa merasa takut sedikit dalam hatinya.  Kami berfirman kepadanya: "Janganlah engkau takut (wahai Musa)! Sesungguhnya engkaulah yang tertinggi mengatasi mereka dengan kemenangan. Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan segala (benda-benda sihir) yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir; sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan, di mana sahaja ia berada".(surah Thaha: ayat 63-69)


Taraf antara Jin dan Manusia :

Syeikh Abu Bakar al-Jazairi berkata:

"Sesungguhnya jin termasuk yang salih di antara mereka, lebih rendah (tarafnya) dari manusia kerana Allah  telah menetapkan kemuliaan manusia dalam Al-Qur'an :

"Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan." (Surah Al-Isra': ayat 70)

Jin Takut Dengan Manusia:
  
Dalam buku karangan Syeikh Wahid Abdus Salam Bali yang bertajuk Wiqayatul Insan Minal Jinni Wa as-Syaitan, ada menjelaskan berkenaan sebuah hadis. Abu ad-Dunya melaporkan daripada Mujahid, beliau berkata:
"Ketika saya solat pada waktu malam, tiba-tiba makhluk sebesar anak kecil berdiri di hadapanku, lalu aku desak untuk ditangkap. Kemudian dia berdiri dan melompat ke belakang dinding hingga aku dengar bunyi jatuhnya. Selepas itu dia tidak kembali lagi."
Menurut Mujahid lagi: 
" Sesungguhnya mereka (jin) takut kepada kalian, sebagaimana kalian takut kepada mereka"
Dilaporkan juga daripada Mujahid, beliau berkata:
"Syaitan lebih takut daripada salah seorang daripada kalian. Karena itu jika dia menampakkan diri kepada kalian, janganlah kalian takut (dia) akan mengalahkan kalian. Tetapi bersikap keraslah kepadanya kerana dia akan pergi"  

Hubungan Dengan Jin :

Dalil-dalil Al-Qur'an:
"Dan ada beberapa orang lelaki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki jin, maka jin-jin itu menambah untuk mereka dosa dan kesalahan." (Surah al-Jin: ayat 6)
"Bagi tiap-tiap umat Kami tetapkan syariat tertentu yang mereka lakukan, maka janganlah sekali-kali mereka membantah kamu (Muhammad) dalam urusan (syariat) ini..." (Surah al-Hajj: ayat 67)

Syeikh Abu Bakar al-Jazairi berkata:
"Sesungguhnya gangguan jin kepada manusia merupakan sesuatu yang terjadi dan tidak dapat dimungkiri kerana terbukti dengan dalil pendengaran dan peristiwa yang nyata. Akal pun tidak memustahilkannya bahkan membolehkan dan mengakuinya. Kalau tidak ada penjagaan malaikat yang ditugaskan Allah untuk menjaga manusia nescaya tidak ada manusia yang selamat dari gangguan jin dan syaitan kerana manusia tidak dapat melihat mereka dan kerana kemampuan mereka untuk berubah bentuk dengan cepat atau kerana fizikal mereka yang halus sehingga tidak boleh kita rasakan."

Bernikah dengan Jin:

Menurut Ustaz Abu Aqila:
"Islam tidak mensyariatkan adanya perkahwinan antara jin dan manusia. Dengan demikian apabila ada manusia yang meyakini akan keberadaannya, tentu sahaja perkara ini hanyalah merupakan sebuah rekayasa syaitan daripada jenis jin yang sengaja mempengaruhi (fikiran) manusia seakan-akan dia telah menjalinkan pernikahan dan perkahwinan dengan jin."

Dalil Al-Qur'an:
 "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." (Surah ar-Ruum: ayat 21)

Qarin: 

Dalil Al-Qur'an: 
" Sesiapa yang berpaling daripada pengajaran Allah yang Maha Pemurah (Al-Qur'an), Kami adakan baginya syaitan maka syaitan itulah menjadi teman (al-qarin) yang menyertainya." (Surah az-Zukhruf: ayat 36)

Rasulullah S.A.W berkata berkenaan qarin:
"Tidak ada seorang pun daripada kamu yang tidak diwakilkan oleh Allah qarin (teman) daripada bangsa jin. 'Para sahabat bertanya, "Apakah qarin itu juga diperuntukkan untukmu, wahai Rasulullah ?' Beliau menjawab, 'Juga untuk saya, tetapi Allah S.W.T menolongku terhadapnya, lalu ia masuk Islam dan ia tidak akan menyuruhku kecuali pada kebaikan."
(dilaporkan oleh Muslim)
  
"Tidak ada seorang antara kalian kecuali disertakan untuknya Qarin daripada jin dan daripada malaikat."
(dilaporkan oleh Muslim dan Ibnu Mas'ud)
Dr. al-Asyqar menjelaskan:
"Boleh jadi seorang Muslim mampu mempengaruhi jin pendampingnya, kemudian jin itu masuk Islam"

Tetapi menurut Syeikh Wahid Abdus Salam Bali, pakar Ruqyah dari Timur Tengah:

"Apa yang dikatakan oleh Dr. al-Asyqar perlu ditinjau kerana pernyataannya menunjukkan setiap muslim dapat mempengaruhi jin pendampingnya hingga masuk Islam, bahkan secara tegas beliau menyatakan perkara ini. Sedangkan yang sebenarnya tidaklah begitu kerana penjelasan dalam hadis itu secara lahiriahnya menunjukkan perkara itu hanya khusus untuk Rasulullah S.A.W. Sesiapa yang menyatakan ia terjadi kepada masyarakat umum, maka dia perlu mengemukakan dalil. Sepanjang yang saya ketahui tidak ada dalil yang mendukung pendapat itu."

Ibnu Taimiyah menegaskan:
"Kemudian sekiranya seseorang itu meminta pertolongan daripada para jin bagi melakukan perkara yang mengandungi kekufuran, maka orang itu menjadi kafir dan jika orang itu meminta pertolongan daripada para jin bagi menghukum perkara-perkara yang mengandungi maksiat, maka orang itu menjadi orang yang mengerjakan maksiat atau fasik atau berdosa tanpa fasik."

Bagi menjelaskan kedudukan bersahabat dengan jin, kita lihat pendapat Syeikh Abdul Wahab al-Sya'rani dan Syeikh Muhyi ad-Din Ibnu al-Arabi di dalam kitab Tuhfatur Raghibin:

"Kata Syeikh Abdul Wahab al-Sya'rani di dalam kitab itu (al-Yawaqit Wa al-Jawahir), bersahabat dan bersekedudukan dengan jin sangat keji. Katanya, sesiapa yang memilih dan melebihkan kedudukan dengan jin daripada kedudukan dengan ulama, maka orang itu jahil kerana yang ghaib atas jin adalah perbuatan dan perkataannya berlebih-lebihan dan dusta seperti kelakuan manusia yang fasik. Maka orang yang berakal perlu lari daripada bersahabat dan bersekedudukan dengan jin sepertinya dia lari daripada bersahabat dan bersekedudukan dengan manusia fasik. Dan lagi kata Syeikh Abdul Wahab, tiada sekali-kali aku melihat orang yang bersekedudukan dengan jin itu beroleh kebajikan kerana asal kejadian itu api dan api yang sangat banyak geraknya itu datangnya berlebih-lebihan perbuatan dan perkataannya."
 
Selebihnya rujuk daripada Sumber :
Malik Faisal (2011). Jampi Jelmaan Al-Qur'an dan Hadis : Membongkar Rahsia Alam Jin & Sihir. Kuala Lumpur: PTS Islamika.

No comments:

Post a Comment