FASAL IV
SAMUDERA-PASAI
KERAJAAN
ISLAM YANG PERTAMA
(ABAD
KETIGA BELAS-KEEMPAT BELAS)
Pendahuluan
Dari huraian-huraian yang telah lalu, telah dimaklumi
bahwasanya orang-orang Islam telah mendirikan kampung-kampung di tepi pantai
Melaka. Mereka berasal daripada saudagar-saudagar Arab, Parsi, Gujerat dan
Malabar. Mereka telah kawin dengan anak negeri dan mereka membeli budak-budak
lalu mereka merdekakan. Kehidupan mereka, makanan mereka yang bersih
menyebabkan hidup mereka lebih baik dari kehidupan penduduk asli. Cuma mereka
belum sanggup mendirikan kerajaan yang kuat.
Ada sebuah berita yang
tersiar bahwasanya di tahun 1205M., telah naik takhta seorang Raja Islam di
Daya (Aceh), bergelar Seri Paduka Sultan Johan Syah. Baginda bukanlah berasal
dari putera tempat itu, melainkan keturunan pedagang-pedagang Islam tadi juga.
Menilik kepada namanya besar kemungkinan bahwa baginda berasal dari Gujerat.
Tetapi berita tentang kelanjutan kerajaan baginda tidaklah terang.
Kabar berita bahwa masyarakat Islam telah ada di pantai Sumatera
itu rupanya sampai juga ke Makkah dan menjadi perhatian besar daripada Syarif.
Sehingga baginda anjurkan seorang Ulama bernama Syeikh Ismail datang ke negeri
Samudera Aceh, karena di antara negeri-negeri tepi pantai yang begitu banyak,
nama Samudera lebih dikenali[i].
Syeikh Ismail berangkat menuju
Samudera dan berlabuhlah kapalnya di Malabar (disebut juga Mu’tabar) sebelum
meneruskan perjalanan ke Aceh. Di sana tuan Syeikh berjumpa lagi dengan seorang
bekas Raja, yang oleh karena asyiknya memperdalam faham Tasawuf,
ditinggalkannya kerajaannya, lalu dipakainya gelar orang Sufi, iaitu ‘Fakir’
Muhammad, dia adalah keturunan daripada Sayyidina Abu Bakar Siddiq, sahabat
Nabi.
Singgahlah mereka di negeri-negeri
tepi pantai yang telah memeluk agama Islam itu tetapi kebanyakan di antara
mereka tidak sanggup lagi membaca Al-Qur’an. Negeri-negeri yang mereka singgahi
itu ialah Fansur (Barus), Lamuri, dan Haru. Setelah itu, mereka teruskan
pelayaran ke negeri Perlak. Di sana didapat keterangan bahwa negeri Samudera
yang mereka tuju itu rupanya sudah jauh tertinggal belakang, sehingga
terpaksalah kapal mereka dibelokkan kembali.
Tidak disangka-sangka berjumpalah
mereka dengan orang yang hendak mereka tepati, iaitu Merah Silu kepala kampung
di tempat itu. Di dalam ‘Sejarah Melayu’ disebutkan bahwa Merah Silu terus
diislamkan dan sehari sesudah memeluk Islam dia sudah bijak membaca Al-Qur’an.
Lalu diberilah dia nama Islam, iaitu ‘Sultan Al-Malikus-Saleh’. Dan
diserahkanlah kepadanya tanda-tanda kerajaan yang telah mereka bawa dari negeri
Makkah.
Antara
contoh Al-Qur’an yang menjadi sumber rujukan bacaan umat Islam sejak zaman
berzaman yang antaranya adalah Al-Ma’thurat yang mana ayat dan bacaannya telah
disusun dengan teliti oleh ulama-ulama terdahulu sehingga menjadi bacaan yang
mempunyai kaifiatnya yang sangat penting dalam amal ibadat seharian bagi umat
umat Islam sehingga ke hari ini.
Al-Malikus-Saleh
Raja Samudera 1
Dekat
sebuah kampung yang memang bernama Samudera, di tepi sebuah sungai bernama
Sungai Pase, yang bermuara ke teluk Lho’
Seumawe dan di seberang sungai itu dekat dari bekas jejak kerajaan Pasai dahulu
itu, terdapatlah makam-makam Raja-raja Samudera Pasai itu. Batunya terdiri
daripada pualam putih, diukir dengan tulisan Arab huruf Riq’ah yang sangat
indah. Yang tertua di antaranya ialah bertarikh Hijrah 692, bersetuju dengan
tahun 1297Masihi. Jelaslah tertulis nama raja pertama itu, iaitu Al-Malikus
–Saleh. Setelah dicuba mempertaut-tautkan keterangan di sana-sini, terdapatlah
suatu kesimpulan bahwasanya pengakuan yang diterimanya untuk memakai gelar
Sultan memanglah datang dari Syarif Makkah. Syarif Makkah pada waktu itu adalah
di bawah naungan Kerajaan Mamalik di Mesir. Setengah daripada gelar yang
dipakai oleh Raja Mamalik Mesir waktu itu ialah ‘Khadimul Haramain’, (Pelayan
Dari Kedua Tanah Suci). Maka berkenanlah Syarif dengan keizinan daripada
Sultan-sultan Mamalik memberikan gelar ‘Sultan’ bagi mereka.
‘Al-Malikus-Saleh’ adalah gelar yang
dipakai oleh pembangun Kerajaan Mamalik yang pertama di Mesir iaitu
‘Al-Malikus-Saleh Ayub’.
Hal ini pun memperkuat pendapat,
bahwa telah ada hubungan langsung dengan negeri-negeri Arab, terutama Makkah
pada masa itu.
Pada zaman baginda itulah, di tahun
1292M., Marco Polo pengembara bangsa Venesia yang terkenal itu melawat ke Sumatera
Utara. Dia belum melihat orang Islam, melainkan dalam Kerajaan Perlak saja,
adapun penduduk pergunungan, menurut Marco Polo masihlah sangat biadab dan
masih ada yang memakan daging manusia.
Maka dengan anak perempuan Raja
Perlak yang telah beragama Islam itulah Al-Malikus-Saleh kawin dan mendapat dua
orang putera.
Al-Malikuz-Zhahir
1 (1297-1326)
Adapun
putera baginda Al-Malikus-Saleh itu, menurut Sejarah Melayu, yang seorang
bergelar Al-Malikuz-Zhahir dan yang seorang lagi bergelar Al-Malikul-Mansur.
Melihat gelar-gelar Sultan ini terasalah oleh kita adanya pengaruh Makkah dan
Mesir dalam kerajaan ini. Sebab ‘Azh-Zhahir’ adalah gelar yang dipakai oleh
Sultan Mamalik yang kedua di Mesir iaitu ‘Al-Malikuz-Zhahir Baibars’
(1260-1277M.). Dan ‘Al-Mansur’ adalah gelar dari Sultan Mamalik yang ketiga,
yang menggantikan Baibars, iaitu Al-Malikul-Mansur Qalawun (1279-1290M.).
Di dalam catitan yang lain, disebut
nama kecil Sultan itu, iaitu Raja Muhammad.
Al-Malikuz-Zhahir
II (1326-1348)
Sultan
yang ketiga bergelar Al-Malikuz-Zhahir juga, dan bernama Raja Ahmad.
Rupa-rupanya menilik kepada matawang yang dipakai dalam negeri Pasai itu,
banyak Sultan-sultan memakai gelar Al-Malikuz-Zhahir, walaupun orangnya telah
berganti-ganti. Sangat besar kemungkinan bahwa Sultan inilah yang ditemui oleh
pengembara Ibnu Batutah seketika dia singgah di negeri Pasai itu tatkala dia
diutus oleh Sultan Delhi[ii] ke
Tiongkok pada tahun 1345M., demikian juga seketika dia telah selesai melakukan tugasnya
dan hendak kembali pulang setahun kemudian (1346).
Keterangan yang diberikan oleh Ibnu
Batutah dalam kisah perjalanannya tentang Sultan Al-Malikuz-Zhahir itu
sangatlah penting di dalam menyusun sejarah. Ibnu Batutah menceritakan
bahwasanya Sultan itu sangatlah teguh memegang agama dan baginda bermazhab
Syafi’i. Mazhab itu diketahuinya dengan mendalam dan sanggup baginda bertukar
fikiran dengan para ulama seketika membicarakan masalah-masalah agama dalam
mazhab Syafi’i itu. Ketika akan pergi ke Jum’at baginda berjalan kaki dan
pulangnya barulah naik kenderaan gajah atau kuda. Baginda suka sekali
mengembangkan agama ke negeri-negeri yang berdekatan dan mana-mana negeri yang
belum mahu memeluk agama Islam, dengan segala kerendahan, sudi membayar upeti
kepada kerajaan baginda setiap waktunya yang ditentukan.
Diceritakan pula oleh Ibnu Batutah
bahwa dia bertemu di sana dengan dua orang ulama, seorang datang dari Syiraz
dan yang seorang lagi datang dari Isfahan. Yang datang dari Syiraz itu rupanya
ialah dari keturunan bangsa Saiyid. Dia diangkat oleh Baginda Sultan menjadi
Kadi dalam Kerajaan Pasai. Ini tidaklah mengherankan karena bukan sedikit pula
ulama-ulama mazhab Syafi’i di negeri Iran itu, seumpama Syeikh Abu Ishaq
Asy-Syirazi, pengarang kitab ‘Al-Muhazzab’ yang terkenal, karena beliau pun
menjadi guru besar pada Madrasah Nizhamiyah. Barulah berkurang orang Iran
terkemuka dalam mazhab yang selain Syi’ah, setelah pada awal abad keenam belas,
Syah Ismail Shafawi merasmikan mazhab Syi’ah menjadi mazhab Kerajaan Iran.
Selain
daripada kemajuan agama Islam dan mazhab Syafi’inya, Baginda Sultan pun rupanya
mempunyai armada kapal dagang yang besar. Karena Ibnu Batutah pun menceritakan
bahwa setelah selesai tugasnya di Tiongkok, dia berniat hendak segera kembali.
Syukurlah di pelabuhan turut berlabuh bersama kapal-kapal yang lain, kapal dari
Sultan Al-Malikuz-Zhahir sendiri, yang apabila telah selesai membongkar muatan
yang baru dibawanya dan memunggah muatan yang akan dimuat dari negeri Tiongkok,
kapal itu segera akan kembali.
Baginda sangat kasih dan hormat
kepada orang yang ziarah ke negerinya. Apatah lagi kalau yang datang itu
seorang ulama sebagai Ibnu Batutah. Menjadi kebiasaan pada masa itu memberikan
hadiah kepada tamu, terdiri daripada hamba-sahaya, sehingga Ibnu Batutah diberi
seorang sahaya perempuan dan seorang sahaya laki-laki.
Sampai seketika Ibnu Batutah telah
kembali ke negerinya di Afrika Utara (Tunisia) disebutnya kenang-kenangannya
kepada Raja-raja yang pernah diziarahinya, bahwasanya keistimewaan Raja Pasai
itu ialah karena sangat alimnya.
Kealiman Sultan itu dan kemajuan
mazhab Syafi’i dalam negerinya rupanya telah menjadi daya penarik bagi
kedatangan ulama-ulama Islam dari negeri lain, terutama yang bermazhab Syafi’i
pula, iaitu Mesir, Makkah, Madinah, Pantai Yaman, Hadramaut dan Malabar,
sehingga selain dari menjadi sebuah Bandar yang besar dalam perniagaan, Pasai
pun menjadi pusat pula dari mempelajari agama Islam. Sehingga kemudiannya,
walaupun dari segi politik Pasai telah mundur, namun dia tetap menjadi pusat
mempelajari agama Islam dan mazhab Syafi’i. Sehingga tersebutlah dalam Sejarah
Melayu bahwa ulama-ulama di Melaka, di kala Melaka jaya, kalau ada soal agama
yang musykil sehingga sulit memutuskan ke Pasai jualah mereka meminta kata
putus.
Zainal
Abidin (1350)
Setelah
Sultan Al-Malikuz-Zhahir yang bijaksana itu mangkat, maka naiklah puteranya
Zainal Abidin. Nampaknya dia naik takhta kerajaan di dalam usia masih kecil,
sehingga yang menjalankan pemerintahan tinggallah orang besar-besar kerajaan
belaka. Terasa benar betapa kekosongan karena hilangnya raja yang bijaksana
itu, yang bukan saja memegang kendali pemerintahan, tetapi juga tempat meminta
fatwa agama.
Maka tersebutlah di dalam Sejarah
Melayu[iii]
bahwasanya Kerajaan Pasai itu, diperlengkapi dengan 4000 hulubalang dalam
seratus buah pilu. Mereka masuk mulanya ke dalam negeri Pasai dengan secara
baik-baik, sehingga kedatangan mereka tidak menimbulkan syak wasangka dan
disambut sebagaimana layaknya. Tetapi mereka angkat sebuah peti besar ke dalam
istana yang telah diisi dengan 4 orang hulubalang yang kuat, lalu peti itu
dibuka di hadapan raja yang masih kecil
itu, sebab mereka mengatakan bahwa isi peti itu ialah hadiah Raja Siam. Demi
setelah peti dibuka, melompatlah keempat hulubalang itu, terus sekali mereka
menangkap raja dan mereka masukkan pula ke dalam peti itu, lalu dengan secara
kilat mereka larikan keluar sedang di luar istana rupanya tentera Siam sudah
siap, dan sebelum tentera Pasai mengetahuinya, raja telah dilarikan ke kapal
dan terus sekali berlayar. Maka menjadi tawananlah raja yang masih muda itu
dalam istana Siam.
Nampaknya penghinaan yang demikian
pahit tidaklah dapat ditangkis oleh Pasai. Orang besar-besar Pasai terpaksa
datang menyembahkan ‘bunga emas’ ke negeri Siam, iaitu dua ekor itik daripada
emas dan sebuah pasu emas yang digenangi air dan dapat itik itu berenang di
dalamnya. Sangatlah sukacita Raja Siam atas persembahan itu, tandanya bahwa
Pasai telah takluk kepada Siam. Maka seketika orang besar-besar Pasai yang
datang menghadap itu memohon supaya Sultan yang masih muda itu diserahkan
kepada mereka, mahulah Raja Siam memberikannya. Asal Pasai tetap membayar bunga
emas. Dan pulanglah raja yang masih muda itu ke negerinya dan duduk ke atas singgahsana.
Tetapi tidak berapa lama
kemudiannya, tiba-tiba datang pulalah angkatan perang Majapahit; diserbunya
Pasai sekali lagi. Raja dipaksa tunduk pula kepada Majapahit. Rupanya setelah
ditaklukkan oleh Siam, Pasai sudah lemah dan ketika Majapahit yang sedang megah
dan perkasa itu menyerang, baik Pasai ataupun Siam yang memperlindunginya
tidaklah mempunyai cukup kekuatan buat mempertahankan Kerajaan Islam yang
pertama itu.
Dalam riwayat Tiongkok, bahwa
seketika utusan Maharaja Tiongkok datang di bawah pimpinan Cheng Ho, admiral
Islam yang terkenal itu pada tahun 1405M., maka Raja Pasai yang mereka dapati
ialah Tsai-nu-li-a-pi-ting-ki, (Zainal Abidin)
Tidak jauh daripada kemungkinan
bahwa baginda ialah Zainal Abidin yang itu juga, yang masih panjang usianya
buat menderita dua pukulan hebat daripada dua buah kerajaan besar Siam dan
Majapahit.
Kedatangan Cheng Ho merubah suasana.
Dia menganjurkan agar raja-raja dan sultan-sultan di Selatan ini mengakui
bersahabat dengan Maharaja Tiongkok, Kaisar Cheng Tsu. Sebab baginda baru saja
merebut kuasa daripada Kaisar yang dahulu, iaitu Hwuu Ti. Cheng Ho telah datang
membawa hadiah-hadiah tanda-mata dan persahabatan daripada Kaisar Tiongkok, dan
Cheng Ho memberikan janji teguh bahwasanya Tiongkok akan tetap membela Pasai,
Melaka dan negeri-negeri lain yang didatanginya, kalau ada serangan dari luar,
asal suka mengakui perlindungan Tiongkok.
Sebagaimana diketahui, Cheng Ho
berkali-kali melawat ke negeri sebelah selatan ini. Pertama di tahun 1405, dan
kembali ke negerinya di tahun 1407. Perlawatannya yang kedua di tahun 1408 dan
kembali ke negerinya di tahun 1411, membawa Raja Ceylon yang melawan kepadanya.
Dan sampai di Tiongkok Raja Caylon dikurniakan ampun oleh Maharaja Tiongkok dan
dipulangkan kembali ke atas singgahsananya. Perlawatannya yang ketiga ialah di
tahun 1412; sekali lagi dia datang ke Samudera Pasai.
Didapatinya Sultan Zainal Abidin
telah mangkat. Meskipun pengakuan Tiongkok kepada Pasai, sama tarafnya dengan
yang diberikan kepada Kerajaan Melaka, namun cahaya Pasai tidak naik lagi.
Sedang fajar kebesaran Melaka mulai tersingit. Malahan Sultan yang menggantikan
Zainal Abidin telah tewas pula dalam satu peperangan melawan negeri Nakur
(dalam Aceh juga). Permaisuri Pasai menjanjikan bahwa dia sudi menjadi isteri
bagi barangsiapa yang sudi berjuang menuntut bela kematian suaminya dalam
perang itu. Maka tampillah ke muka seorang nelayan (penangkap ikan), mengepalai
tentera mengalahkan negeri Nakur kembali. Nelayan itu kata riwayat Tiongkok
menang perangnya, sehingga langsung diangkat menjadi raja menggantikan raja
yang tewas itu. Ini terjadi dalam tahun 1412, tidak berapa lama sebelum Cheng
Ho datang kembali melawat Pasai.
Berita
terakhir tentang Pasai
Kemudian tersebut dalam catitan
Tiongkok selanjutnya bahwa putera daripada raja yang mati terbunuh itu, yang
berhak menduduki takhta kerajaan, tidaklah merasa senang hati karena seorang nelayan
merebut takhta kerajaan dan dengan bangga pula mengahwini ibunya atau
ibu-tirinya. Raja Nelayan itu dibunuhnya dan dia pun naik takhta yang memang
sudah menjadi haknya itu.
Kemudian tersebutlah perkataan
bahwasanya Raja Iskandar anak Raja Pasai dibawa oleh Cheng Ho dalam perlawatan
ke Pasai tahun 1412 itu menziarahi Tiongkok dan datang menghadap Seri Maharaja
Tiongkok. Sayang sekali, sesampai di Tiongkok Raja Iskandar itu mati terbunuh.
Semenjak itu sudah jaranglah
hubungan Pasai dengan Tiongkok. Tersebut dalam catitan sejarah, bahwa ziarah
perutusan Pasai ke Tiongkok yang paling akhir ialah pada tahun 1434M.
Melaka sudah mulai naik bintangnya.
Sultan-sultan Melaka yang memerintah sejak pembangunnya yang pertama Sultan
Muhammad Syah (yang kawin dengan seorang puteri Pasai), sampai kepada Sultan
Iskandar Syah, sampai kepada Sultan Ahmad Syah, sampai kepada Sultan Muzaffar
Syah, sampai kepada Sultan Mansur Syah, negeri Melaka kian lama kian naik dan
Pasai kian lama kian turun. Pelabuhan Pasai beransur lengang, kapal-kapal telah
lebih banyak berlabuh di pelabuhan negeri Melaka itu, karena pantainya sudah mulai
dangkal. Cuma dalam adat istiadat jualah Melaka selalu melebihkan martabat
Pasai, daripada martabat negeri-negeri yang lain. Jika utusan datang dari
Pasai, sambutan berlebih dari biasa. Utusan disambut dengan payung kuning dan
berkenderaan gajah. Gajah yang membawa utusan itu boleh masuk langsung, terus
ke halaman balairong-seri, tidak ditambatkan di luar pagar tembok istana
sebagai mana kenderaan utusan-utusan negeri lain.
Akhirnya hilanglah Pasai. Dan yang
bersua jejaknya sekarang ialah kuburan-kuburan tua dan padang tekukur sepi,
untuk menjadi peringatan dan bahan pencari sejarah bagi mereka yang datang di
belakang; pada satu kampung kecil yang bernama Samudera, di pinggir sebuah kali
kecil bernama Pase, di dekat sebuah perhentian kecil (stopplaats) keretapi
Aceh, bernama Kampung Geudong.
Dan pusat kegiatan Islam sejak itu
berpindahlah ke Melaka.
Pengembara
dari Pasai
Banyaklah
putera Pasai meninggalkan kampung halamannya terutama sejak dua kali serangan
yang menyedihkan, pertama dari Siam, kedua dari Majapahit. Dan akhirnya di
tahun 1521 diserang pula oleh Portugis. Kerajaan Majapahit yang keras
mempertahankan kehinduannya itu, sehingga menyebabkan negeri Pasai terpaksa
mengakui takluk ke bawah naungannya, menyebabkan beberapa anak Pasai pergi
merantau ke tanah Jawa sendiri, terutama ke Jawa Timur dan menetap di sana.
Jika negerinya sendiri telah terbakar dibakar oleh suatu kekuasaan besar, anak
Pasai itu telah pergi ke hulu kekuasaan itu, ke daerah kekuasaan Majapahit
sendiri dan mengembangkan pula cita-citanya di sana. Dengan suatu ajaran rohani
yang murni, Majapahit telah mereka perangi pula, bukan dengan senjata. Apa yang
mereka tanamkan itulah kelaknya yang akan besar dan kukuh, menjelma kelaknya
menjadi Kerajaan Islam Demak.
Seorang di antara anak Pasai itu
ialah Falatehan, atau Fatahillah, atau bernama juga Syarif Hidayatullah, datang
ke Jawa sebab negerinya diserang Portugis (1521). Mulanya menjadi panglima
perang dari Kerajaan Islam Demak untuk menaklukkan Jawa Barat, Kerajaan Galoh
dan Pajajaran, dan akhirnya menjadi pendiri daripada dua Kerajaan Islam sesudah
Demak, iaitu Bantam dan Cirebon.
[ii] Kalimatnya yang asal adalah Delhi, dan kalau seorang dibangsakan kepadanya
disebut ‘Ad-Dahlawiy’ , sebagai Syah Waliullah Ad-Dahlawiy. Tetapi orang Barat
menyebutnya Delhi, jadi terbalik tempat huruf H dengan huruf L.
No comments:
Post a Comment