Friday, December 29, 2017

Batu everest






Gambar batu everest yang ditemui oleh pendaki gunung Everest dari Malaysia antara yang menjadi tarikan di pameran Terengganu Nelang di Muzium yang bermula 9 Julai dan berakhir 31 Disember tahun 2017.

Wednesday, December 20, 2017

Sejarah Kerajaan Islam Pertama Di Asia Tenggara (Samudera-Pasai)



FASAL IV
SAMUDERA-PASAI
KERAJAAN ISLAM YANG PERTAMA
(ABAD KETIGA BELAS-KEEMPAT BELAS)
Pendahuluan
            Dari huraian-huraian yang telah lalu, telah dimaklumi bahwasanya orang-orang Islam telah mendirikan kampung-kampung di tepi pantai Melaka. Mereka berasal daripada saudagar-saudagar Arab, Parsi, Gujerat dan Malabar. Mereka telah kawin dengan anak negeri dan mereka membeli budak-budak lalu mereka merdekakan. Kehidupan mereka, makanan mereka yang bersih menyebabkan hidup mereka lebih baik dari kehidupan penduduk asli. Cuma mereka belum sanggup mendirikan kerajaan yang kuat. 



Ada sebuah berita yang tersiar bahwasanya di tahun 1205M., telah naik takhta seorang Raja Islam di Daya (Aceh), bergelar Seri Paduka Sultan Johan Syah. Baginda bukanlah berasal dari putera tempat itu, melainkan keturunan pedagang-pedagang Islam tadi juga. Menilik kepada namanya besar kemungkinan bahwa baginda berasal dari Gujerat. Tetapi berita tentang kelanjutan kerajaan baginda tidaklah terang. 
                Kabar berita bahwa masyarakat Islam telah ada di pantai Sumatera itu rupanya sampai juga ke Makkah dan menjadi perhatian besar daripada Syarif. Sehingga baginda anjurkan seorang Ulama bernama Syeikh Ismail datang ke negeri Samudera Aceh, karena di antara negeri-negeri tepi pantai yang begitu banyak, nama Samudera lebih dikenali[i].
            Syeikh Ismail berangkat menuju Samudera dan berlabuhlah kapalnya di Malabar (disebut juga Mu’tabar) sebelum meneruskan perjalanan ke Aceh. Di sana tuan Syeikh berjumpa lagi dengan seorang bekas Raja, yang oleh karena asyiknya memperdalam faham Tasawuf, ditinggalkannya kerajaannya, lalu dipakainya gelar orang Sufi, iaitu ‘Fakir’ Muhammad, dia adalah keturunan daripada Sayyidina Abu Bakar Siddiq, sahabat Nabi.
            Singgahlah mereka di negeri-negeri tepi pantai yang telah memeluk agama Islam itu tetapi kebanyakan di antara mereka tidak sanggup lagi membaca Al-Qur’an. Negeri-negeri yang mereka singgahi itu ialah Fansur (Barus), Lamuri, dan Haru. Setelah itu, mereka teruskan pelayaran ke negeri Perlak. Di sana didapat keterangan bahwa negeri Samudera yang mereka tuju itu rupanya sudah jauh tertinggal belakang, sehingga terpaksalah kapal mereka dibelokkan kembali.
            Tidak disangka-sangka berjumpalah mereka dengan orang yang hendak mereka tepati, iaitu Merah Silu kepala kampung di tempat itu. Di dalam ‘Sejarah Melayu’ disebutkan bahwa Merah Silu terus diislamkan dan sehari sesudah memeluk Islam dia sudah bijak membaca Al-Qur’an. Lalu diberilah dia nama Islam, iaitu ‘Sultan Al-Malikus-Saleh’. Dan diserahkanlah kepadanya tanda-tanda kerajaan yang telah mereka bawa dari negeri Makkah.

Antara contoh Al-Qur’an yang menjadi sumber rujukan bacaan umat Islam sejak zaman berzaman yang antaranya adalah Al-Ma’thurat yang mana ayat dan bacaannya telah disusun dengan teliti oleh ulama-ulama terdahulu sehingga menjadi bacaan yang mempunyai kaifiatnya yang sangat penting dalam amal ibadat seharian bagi umat umat Islam sehingga ke hari ini.


                                 


Al-Malikus-Saleh Raja Samudera 1
            Dekat sebuah kampung yang memang bernama Samudera, di tepi sebuah sungai bernama Sungai Pase, yang  bermuara ke teluk Lho’ Seumawe dan di seberang sungai itu dekat dari bekas jejak kerajaan Pasai dahulu itu, terdapatlah makam-makam Raja-raja Samudera Pasai itu. Batunya terdiri daripada pualam putih, diukir dengan tulisan Arab huruf Riq’ah yang sangat indah. Yang tertua di antaranya ialah bertarikh Hijrah 692, bersetuju dengan tahun 1297Masihi. Jelaslah tertulis nama raja pertama itu, iaitu Al-Malikus –Saleh. Setelah dicuba mempertaut-tautkan keterangan di sana-sini, terdapatlah suatu kesimpulan bahwasanya pengakuan yang diterimanya untuk memakai gelar Sultan memanglah datang dari Syarif Makkah. Syarif Makkah pada waktu itu adalah di bawah naungan Kerajaan Mamalik di Mesir. Setengah daripada gelar yang dipakai oleh Raja Mamalik Mesir waktu itu ialah ‘Khadimul Haramain’, (Pelayan Dari Kedua Tanah Suci). Maka berkenanlah Syarif dengan keizinan daripada Sultan-sultan Mamalik memberikan gelar ‘Sultan’ bagi mereka.
            ‘Al-Malikus-Saleh’ adalah gelar yang dipakai oleh pembangun Kerajaan Mamalik yang pertama di Mesir iaitu ‘Al-Malikus-Saleh Ayub’.
            Hal ini pun memperkuat pendapat, bahwa telah ada hubungan langsung dengan negeri-negeri Arab, terutama Makkah pada masa itu.
            Pada zaman baginda itulah, di tahun 1292M., Marco Polo pengembara bangsa Venesia yang terkenal itu melawat ke Sumatera Utara. Dia belum melihat orang Islam, melainkan dalam Kerajaan Perlak saja, adapun penduduk pergunungan, menurut Marco Polo masihlah sangat biadab dan masih ada yang memakan daging manusia.
            Maka dengan anak perempuan Raja Perlak yang telah beragama Islam itulah Al-Malikus-Saleh kawin dan mendapat dua orang putera.


Al-Malikuz-Zhahir 1 (1297-1326)
            Adapun putera baginda Al-Malikus-Saleh itu, menurut Sejarah Melayu, yang seorang bergelar Al-Malikuz-Zhahir dan yang seorang lagi bergelar Al-Malikul-Mansur. Melihat gelar-gelar Sultan ini terasalah oleh kita adanya pengaruh Makkah dan Mesir dalam kerajaan ini. Sebab ‘Azh-Zhahir’ adalah gelar yang dipakai oleh Sultan Mamalik yang kedua di Mesir iaitu ‘Al-Malikuz-Zhahir Baibars’ (1260-1277M.). Dan ‘Al-Mansur’ adalah gelar dari Sultan Mamalik yang ketiga, yang menggantikan Baibars, iaitu Al-Malikul-Mansur Qalawun (1279-1290M.).
            Di dalam catitan yang lain, disebut nama kecil Sultan itu, iaitu Raja Muhammad.
Al-Malikuz-Zhahir II (1326-1348)
            Sultan yang ketiga bergelar Al-Malikuz-Zhahir juga, dan bernama Raja Ahmad. Rupa-rupanya menilik kepada matawang yang dipakai dalam negeri Pasai itu, banyak Sultan-sultan memakai gelar Al-Malikuz-Zhahir, walaupun orangnya telah berganti-ganti. Sangat besar kemungkinan bahwa Sultan inilah yang ditemui oleh pengembara Ibnu Batutah seketika dia singgah di negeri Pasai itu tatkala dia diutus oleh Sultan Delhi[ii] ke Tiongkok pada tahun 1345M., demikian juga seketika dia telah selesai melakukan tugasnya dan hendak kembali pulang setahun kemudian (1346).

            Keterangan yang diberikan oleh Ibnu Batutah dalam kisah perjalanannya tentang Sultan Al-Malikuz-Zhahir itu sangatlah penting di dalam menyusun sejarah. Ibnu Batutah menceritakan bahwasanya Sultan itu sangatlah teguh memegang agama dan baginda bermazhab Syafi’i. Mazhab itu diketahuinya dengan mendalam dan sanggup baginda bertukar fikiran dengan para ulama seketika membicarakan masalah-masalah agama dalam mazhab Syafi’i itu. Ketika akan pergi ke Jum’at baginda berjalan kaki dan pulangnya barulah naik kenderaan gajah atau kuda. Baginda suka sekali mengembangkan agama ke negeri-negeri yang berdekatan dan mana-mana negeri yang belum mahu memeluk agama Islam, dengan segala kerendahan, sudi membayar upeti kepada kerajaan baginda setiap waktunya yang ditentukan.
            Diceritakan pula oleh Ibnu Batutah bahwa dia bertemu di sana dengan dua orang ulama, seorang datang dari Syiraz dan yang seorang lagi datang dari Isfahan. Yang datang dari Syiraz itu rupanya ialah dari keturunan bangsa Saiyid. Dia diangkat oleh Baginda Sultan menjadi Kadi dalam Kerajaan Pasai. Ini tidaklah mengherankan karena bukan sedikit pula ulama-ulama mazhab Syafi’i di negeri Iran itu, seumpama Syeikh Abu Ishaq Asy-Syirazi, pengarang kitab ‘Al-Muhazzab’ yang terkenal, karena beliau pun menjadi guru besar pada Madrasah Nizhamiyah. Barulah berkurang orang Iran terkemuka dalam mazhab yang selain Syi’ah, setelah pada awal abad keenam belas, Syah Ismail Shafawi merasmikan mazhab Syi’ah menjadi mazhab Kerajaan Iran.




Selain daripada kemajuan agama Islam dan mazhab Syafi’inya, Baginda Sultan pun rupanya mempunyai armada kapal dagang yang besar. Karena Ibnu Batutah pun menceritakan bahwa setelah selesai tugasnya di Tiongkok, dia berniat hendak segera kembali. Syukurlah di pelabuhan turut berlabuh bersama kapal-kapal yang lain, kapal dari Sultan Al-Malikuz-Zhahir sendiri, yang apabila telah selesai membongkar muatan yang baru dibawanya dan memunggah muatan yang akan dimuat dari negeri Tiongkok, kapal itu segera akan kembali.
            Baginda sangat kasih dan hormat kepada orang yang ziarah ke negerinya. Apatah lagi kalau yang datang itu seorang ulama sebagai Ibnu Batutah. Menjadi kebiasaan pada masa itu memberikan hadiah kepada tamu, terdiri daripada hamba-sahaya, sehingga Ibnu Batutah diberi seorang sahaya perempuan dan seorang sahaya laki-laki.
            Sampai seketika Ibnu Batutah telah kembali ke negerinya di Afrika Utara (Tunisia) disebutnya kenang-kenangannya kepada Raja-raja yang pernah diziarahinya, bahwasanya keistimewaan Raja Pasai itu ialah karena sangat alimnya.
            Kealiman Sultan itu dan kemajuan mazhab Syafi’i dalam negerinya rupanya telah menjadi daya penarik bagi kedatangan ulama-ulama Islam dari negeri lain, terutama yang bermazhab Syafi’i pula, iaitu Mesir, Makkah, Madinah, Pantai Yaman, Hadramaut dan Malabar, sehingga selain dari menjadi sebuah Bandar yang besar dalam perniagaan, Pasai pun menjadi pusat pula dari mempelajari agama Islam. Sehingga kemudiannya, walaupun dari segi politik Pasai telah mundur, namun dia tetap menjadi pusat mempelajari agama Islam dan mazhab Syafi’i. Sehingga tersebutlah dalam Sejarah Melayu bahwa ulama-ulama di Melaka, di kala Melaka jaya, kalau ada soal agama yang musykil sehingga sulit memutuskan ke Pasai jualah mereka meminta kata putus.
Zainal Abidin (1350)
            Setelah Sultan Al-Malikuz-Zhahir yang bijaksana itu mangkat, maka naiklah puteranya Zainal Abidin. Nampaknya dia naik takhta kerajaan di dalam usia masih kecil, sehingga yang menjalankan pemerintahan tinggallah orang besar-besar kerajaan belaka. Terasa benar betapa kekosongan karena hilangnya raja yang bijaksana itu, yang bukan saja memegang kendali pemerintahan, tetapi juga tempat meminta fatwa agama.
            Maka tersebutlah di dalam Sejarah Melayu[iii] bahwasanya Kerajaan Pasai itu, diperlengkapi dengan 4000 hulubalang dalam seratus buah pilu. Mereka masuk mulanya ke dalam negeri Pasai dengan secara baik-baik, sehingga kedatangan mereka tidak menimbulkan syak wasangka dan disambut sebagaimana layaknya. Tetapi mereka angkat sebuah peti besar ke dalam istana yang telah diisi dengan 4 orang hulubalang yang kuat, lalu peti itu dibuka di hadapan raja  yang masih kecil itu, sebab mereka mengatakan bahwa isi peti itu ialah hadiah Raja Siam. Demi setelah peti dibuka, melompatlah keempat hulubalang itu, terus sekali mereka menangkap raja dan mereka masukkan pula ke dalam peti itu, lalu dengan secara kilat mereka larikan keluar sedang di luar istana rupanya tentera Siam sudah siap, dan sebelum tentera Pasai mengetahuinya, raja telah dilarikan ke kapal dan terus sekali berlayar. Maka menjadi tawananlah raja yang masih muda itu dalam istana Siam.
            Nampaknya penghinaan yang demikian pahit tidaklah dapat ditangkis oleh Pasai. Orang besar-besar Pasai terpaksa datang menyembahkan ‘bunga emas’ ke negeri Siam, iaitu dua ekor itik daripada emas dan sebuah pasu emas yang digenangi air dan dapat itik itu berenang di dalamnya. Sangatlah sukacita Raja Siam atas persembahan itu, tandanya bahwa Pasai telah takluk kepada Siam. Maka seketika orang besar-besar Pasai yang datang menghadap itu memohon supaya Sultan yang masih muda itu diserahkan kepada mereka, mahulah Raja Siam memberikannya. Asal Pasai tetap membayar bunga emas. Dan pulanglah raja yang masih muda itu ke negerinya dan duduk ke atas singgahsana.




            Tetapi tidak berapa lama kemudiannya, tiba-tiba datang pulalah angkatan perang Majapahit; diserbunya Pasai sekali lagi. Raja dipaksa tunduk pula kepada Majapahit. Rupanya setelah ditaklukkan oleh Siam, Pasai sudah lemah dan ketika Majapahit yang sedang megah dan perkasa itu menyerang, baik Pasai ataupun Siam yang memperlindunginya tidaklah mempunyai cukup kekuatan buat mempertahankan Kerajaan Islam yang pertama itu.
            Dalam riwayat Tiongkok, bahwa seketika utusan Maharaja Tiongkok datang di bawah pimpinan Cheng Ho, admiral Islam yang terkenal itu pada tahun 1405M., maka Raja Pasai yang mereka dapati ialah Tsai-nu-li-a-pi-ting-ki, (Zainal Abidin)
            Tidak jauh daripada kemungkinan bahwa baginda ialah Zainal Abidin yang itu juga, yang masih panjang usianya buat menderita dua pukulan hebat daripada dua buah kerajaan besar Siam dan Majapahit.
            Kedatangan Cheng Ho merubah suasana. Dia menganjurkan agar raja-raja dan sultan-sultan di Selatan ini mengakui bersahabat dengan Maharaja Tiongkok, Kaisar Cheng Tsu. Sebab baginda baru saja merebut kuasa daripada Kaisar yang dahulu, iaitu Hwuu Ti. Cheng Ho telah datang membawa hadiah-hadiah tanda-mata dan persahabatan daripada Kaisar Tiongkok, dan Cheng Ho memberikan janji teguh bahwasanya Tiongkok akan tetap membela Pasai, Melaka dan negeri-negeri lain yang didatanginya, kalau ada serangan dari luar, asal suka mengakui perlindungan Tiongkok.
            Sebagaimana diketahui, Cheng Ho berkali-kali melawat ke negeri sebelah selatan ini. Pertama di tahun 1405, dan kembali ke negerinya di tahun 1407. Perlawatannya yang kedua di tahun 1408 dan kembali ke negerinya di tahun 1411, membawa Raja Ceylon yang melawan kepadanya. Dan sampai di Tiongkok Raja Caylon dikurniakan ampun oleh Maharaja Tiongkok dan dipulangkan kembali ke atas singgahsananya. Perlawatannya yang ketiga ialah di tahun 1412; sekali lagi dia datang ke Samudera Pasai.
            Didapatinya Sultan Zainal Abidin telah mangkat. Meskipun pengakuan Tiongkok kepada Pasai, sama tarafnya dengan yang diberikan kepada Kerajaan Melaka, namun cahaya Pasai tidak naik lagi. Sedang fajar kebesaran Melaka mulai tersingit. Malahan Sultan yang menggantikan Zainal Abidin telah tewas pula dalam satu peperangan melawan negeri Nakur (dalam Aceh juga). Permaisuri Pasai menjanjikan bahwa dia sudi menjadi isteri bagi barangsiapa yang sudi berjuang menuntut bela kematian suaminya dalam perang itu. Maka tampillah ke muka seorang nelayan (penangkap ikan), mengepalai tentera mengalahkan negeri Nakur kembali. Nelayan itu kata riwayat Tiongkok menang perangnya, sehingga langsung diangkat menjadi raja menggantikan raja yang tewas itu. Ini terjadi dalam tahun 1412, tidak berapa lama sebelum Cheng Ho datang kembali melawat Pasai.


Berita terakhir tentang Pasai
            Kemudian tersebut dalam catitan Tiongkok selanjutnya bahwa putera daripada raja yang mati terbunuh itu, yang berhak menduduki takhta kerajaan, tidaklah merasa senang hati karena seorang nelayan merebut takhta kerajaan dan dengan bangga pula mengahwini ibunya atau ibu-tirinya. Raja Nelayan itu dibunuhnya dan dia pun naik takhta yang memang sudah menjadi haknya itu.
            Kemudian tersebutlah perkataan bahwasanya Raja Iskandar anak Raja Pasai dibawa oleh Cheng Ho dalam perlawatan ke Pasai tahun 1412 itu menziarahi Tiongkok dan datang menghadap Seri Maharaja Tiongkok. Sayang sekali, sesampai di Tiongkok Raja Iskandar itu mati terbunuh.
            Semenjak itu sudah jaranglah hubungan Pasai dengan Tiongkok. Tersebut dalam catitan sejarah, bahwa ziarah perutusan Pasai ke Tiongkok yang paling akhir ialah pada tahun 1434M.
            Melaka sudah mulai naik bintangnya. Sultan-sultan Melaka yang memerintah sejak pembangunnya yang pertama Sultan Muhammad Syah (yang kawin dengan seorang puteri Pasai), sampai kepada Sultan Iskandar Syah, sampai kepada Sultan Ahmad Syah, sampai kepada Sultan Muzaffar Syah, sampai kepada Sultan Mansur Syah, negeri Melaka kian lama kian naik dan Pasai kian lama kian turun. Pelabuhan Pasai beransur lengang, kapal-kapal telah lebih banyak berlabuh di pelabuhan negeri Melaka itu, karena pantainya sudah mulai dangkal. Cuma dalam adat istiadat jualah Melaka selalu melebihkan martabat Pasai, daripada martabat negeri-negeri yang lain. Jika utusan datang dari Pasai, sambutan berlebih dari biasa. Utusan disambut dengan payung kuning dan berkenderaan gajah. Gajah yang membawa utusan itu boleh masuk langsung, terus ke halaman balairong-seri, tidak ditambatkan di luar pagar tembok istana sebagai mana kenderaan utusan-utusan negeri lain.
            Akhirnya hilanglah Pasai. Dan yang bersua jejaknya sekarang ialah kuburan-kuburan tua dan padang tekukur sepi, untuk menjadi peringatan dan bahan pencari sejarah bagi mereka yang datang di belakang; pada satu kampung kecil yang bernama Samudera, di pinggir sebuah kali kecil bernama Pase, di dekat sebuah perhentian kecil (stopplaats) keretapi Aceh, bernama Kampung Geudong.
            Dan pusat kegiatan Islam sejak itu berpindahlah ke Melaka.
Pengembara dari Pasai
            Banyaklah putera Pasai meninggalkan kampung halamannya terutama sejak dua kali serangan yang menyedihkan, pertama dari Siam, kedua dari Majapahit. Dan akhirnya di tahun 1521 diserang pula oleh Portugis. Kerajaan Majapahit yang keras mempertahankan kehinduannya itu, sehingga menyebabkan negeri Pasai terpaksa mengakui takluk ke bawah naungannya, menyebabkan beberapa anak Pasai pergi merantau ke tanah Jawa sendiri, terutama ke Jawa Timur dan menetap di sana. Jika negerinya sendiri telah terbakar dibakar oleh suatu kekuasaan besar, anak Pasai itu telah pergi ke hulu kekuasaan itu, ke daerah kekuasaan Majapahit sendiri dan mengembangkan pula cita-citanya di sana. Dengan suatu ajaran rohani yang murni, Majapahit telah mereka perangi pula, bukan dengan senjata. Apa yang mereka tanamkan itulah kelaknya yang akan besar dan kukuh, menjelma kelaknya menjadi Kerajaan Islam Demak.
            Seorang di antara anak Pasai itu ialah Falatehan, atau Fatahillah, atau bernama juga Syarif Hidayatullah, datang ke Jawa sebab negerinya diserang Portugis (1521). Mulanya menjadi panglima perang dari Kerajaan Islam Demak untuk menaklukkan Jawa Barat, Kerajaan Galoh dan Pajajaran, dan akhirnya menjadi pendiri daripada dua Kerajaan Islam sesudah Demak, iaitu Bantam dan Cirebon.




 






[i] Sejarah Melayu, cerita ketujuh.
 

[ii]  Kalimatnya yang asal adalah Delhi, dan kalau seorang dibangsakan kepadanya disebut ‘Ad-Dahlawiy’ , sebagai Syah Waliullah Ad-Dahlawiy. Tetapi orang Barat menyebutnya Delhi, jadi terbalik tempat huruf H dengan huruf L.
 





[iii] Cerita yang kedelapan.