Friday, April 17, 2020
Renungan
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling menasihati supaya mentaati kebenaran dan saling menasihati supaya menetapi kesabaran.” (Surah al-Asr 103:1-3).
(diedit pada 27/4/2020)
Monday, April 13, 2020
Luahan Isi Hati dalam suasana COVID 19
Tak lama lagi bulan Ramadhan akan menjelang tiba. Tahun 2020 kali ini benar-benar menguji seluruh umat Islam di seluruh dunia kerana umat Islam terpaksa menyambut bulan Ramadhan ketika sedang berperang dengan pandemic COVID-19 yang telah mengorbankan lebih 100,000 orang di seluruh dunia setakat ini. Namun itu tidak pernah melunturkan semangat aku untuk menyambut kedatangan bulan yang penuh berkah pada tahun ini. Semoga Allah S. W. T mengurniakan lebih banyak rahmat, petunjuk, hidayah dan keberkatan dalam bulan Ramadhan kali ini walaupun Ramadhan yang bakal dilalui ini berada dalam suasana wabak pandemic COVID-19 yang semakin meruncing. Namun aku akan tetap terus berdoa supaya keadaan akan menjadi lebih baik lagi selepas ini. Kerana sesungguhnya setiap ujian dan perkara yang berlaku atas muka bumi ini semuanya datang dari Allah S. W. T. Hanya Dia sahaja yang Maha Mengetahui atas segala kejadian yang berlaku baik yang terang dan tersembunyi kerana dunia dan segala isinya adalah milik-Nya.
Berbalik kepada topik bulan Ramadhan tahun 2020 yang bakal tiba tidak lama lagi, ingin aku titipkan disini mengenai bulan Ramadhan yang telah aku lalui pada tahun-tahun sudah yang banyak meninggalkan kenangan dan kesan yang mendalam pada diriku. Kalau setiap kali bulan Ramadhan bakal menjelma sebelum ini, aku selalu berharap mendapat mimpi yang baik dan petunjuk dari Allah S. W. T yang dapat memberi kesan yang baik dalam kehidupanku. Dan ternyata, banyak perkara yang berlaku yang memberi pengajaran dan keinsafan pada diriku dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Sebenarnya dulu semasa aku dalam usia yang agak muda dalam lingkungan awal 20 an, semangatku terhadap bulan Ramadhan tidak seperti sekarang. Ini kerana pada masa itu, pengetahuan ilmu agama aku agak kurang dan aku tidak sematang diri aku yang sekarang ini. Namun itu tidak menjadi hal kerana ianya merupakan perkara yang biasa dialami oleh semua orang yang sentiasa meningkat dewasa dan menjadi semakin tua dengan pertambahan usia. Namun aku tetap bersyukur dengan kehidupanku sekarang yang sedang menjalani kehidupan di kampung tempat tinggalku sebagai guru Kafa di salah sebuah sekolah yang terletak tidak jauh dari rumahku. Namun itu bukan bermakna yang hidupku telah lengkap kerana tiada manusia yang benar-benar sempurna dalam dunia ini. Walaupun usiaku sudah menjangkau 35 tahun sekarang ini dan aku sudah belajar selama berbelas tahun di university dan pusat pengajian tinggi dan lebih 6 tahun pengalamanku bekerja sebagai guru Kafa di sekolah rendah setakat ini, namun aku masih lagi merasakan masih banyak lagi perkara yang aku tidak tahu mengenai keadaan dunia masa kini. Walaubagaimanapun, aku tidak akan berputus asa dalam kehidupanku baik dalam urusanku dalam menuntut ilmu mahupun urusan pekerjaanku. Semoga Allah S. W. T sentiasa memimpinku ke arah yang benar dan lebih baik lagi dari yang ini. Amin.
Tujuan aku menulis luahan isi hatiku disini adalah selain bagi mengisi masa duduk di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penyebaran wabak penyakit COVID-19, ia juga bertujuan untuk aku muhasabah diriku dan merenungi semula hidupku pada masa kini dan akan datang yang ketika ini berada dalam suasana penularan wabak maut yang masih belum ada vaksin dan penawarnya. Aku bersyukur kerana aku masih lagi mampu bernafas dan menjalani rutin harian di rumah seperti biasa walaupun semakin ramai orang di sekelilingku yang dijangkiti dan terkorban. Namun begitu, aku akan tetap berusaha untuk tidak lalai dan sedaya upaya untuk mengambil langkah pencegahan dalam menjaga diri dan keluarga serta orang tersayang dari sebarang penyakit. Walaupun ajal maut di tangan-Nya dan kematian itu boleh datang dalam pelbagai bentuk dan cara mengikut takdir-Nya, itu tidak bermakna bahawa kita harus mengambil mudah dalam mencegah dan menjaga diri dari sebarang perkara yang tidak diingini.
Dari sudut penulisan luahan isi hatiku di sini, sebenarnya terlalu banyak perkara yang bermain-main di fikiranku untuk aku catatkan disini namun aku perlu menapisnya dengan sebaik-baiknya dan penuh berhati-hati sebelum aku menulisnya disini kerana aku bimbang boleh jadi perkara yang datang dalam fikiranku berpunca dari jin, syaitan dan iblis laknatullah yang sengaja membisikkan sesuatu yang jahat dalam hati dan fikiranku sebagaimana yang seringkali terjadi kepadaku sebelum ini. Ini kerana sebelum ini, aku seringkali menulis apa sahaja yang bermain di fikiran dan perasaanku dalam buku diari, atau buku catatan mengenai pelbagai perkara seperti mimpi, atau idea yang datang ketika aku sedang kebingungan dan keliru serta kadang-kadang aku menulis puisi dan pantun atau melukis sesuatu yang pelik yang kebiasaannya ideanya dipengaruhi oleh media serta keadaan sekeliling sehingga lukisan dan penulisanku itu tanpa disedari ada yang dilihat tidak elok untuk dibaca dan disimpan mahupun ditunjukkan pada orang sehingga akhirnya aku mengambil keputusan untuk membuang, membakar dan melupuskan apa sahaja bahan lukisan, tulisan dan barang-barang yang aku rasakan tidak elok itu. Sejak dari itu, aku cukup berhati-hati dalam menulis dan mencatatkan sesuatu kerana aku sedar walaupun aku seorang guru Kafa yang ditugaskan mengajar asas agama Islam dan fardhu ain kepada murid-murid sekolah rendah, aku tetap seorang manusia biasa yang tidak terlepas dari godaan syaitan yang sentiasa berusaha untuk membisikkan kejahatan dalam fikiran dan perasaanku. Kerana sesungguhnya manusia itu adalah lemah dan hanya kepada Allah S. W. T lah tempat bergantung segala sesuatu. Semoga Allah S. W. T sentiasa melindungiku dari kejahatan tersebut. Amin.
Selepas aku melupuskan semua bahan-bahan catatan, lukisan dan tulisan yang aku rasakan tidak elok itu, hatiku mula merasa tenang dan lega dan aku berharap semoga Allah S. W. T membersihkan diriku, imanku dan hatiku selepas aku mengambil tindakan tersebut selain berharap agar Dia akan memimpinku untuk melakukan yang lebih baik lagi dari sebelumnya. Bukan melalui catatan atau penulisan sahaja malah merangkumi perbuatan yang lain.
Berbalik kepada perkara yang berkaitan bulan Ramadhan. Aku mengaku bulan Ramadhan yang bakal tiba ini benar-benar menguji imanku. Namun aku akan tetap berusaha melaksanakan amal ibadat sebaik mungkin. Memandangkan tempoh PKP telah dilanjutkan sebagaimana yang telah disampaikan oleh pihak kerajaan, maka aku perlu menilai semula rutin harianku di rumah. Kalau sebelum PKP ini dilanjutkan, aku telah mengisi masa dengan membaca beberapa buah buku. Antaranya adalah buku bertajuk “Manhaj Ilmu Fiqah dan Usul Fiqah” oleh Abdul Azib Hussain. Aku tidak pasti samada perlukah aku membaca buku lagi atau menulis disini kerana aku telah pun membaca beberapa buah buku sebelum pelaksanaan PKP lagi. Walaubagaimanapun aku tidak akan berhenti membaca kerana banyak manfaat yang dapat diperolehi melalui hobi membaca buku lebih-lebih lagi kalau buku itu adalah buku agama. Namun dalam masa yang sama, jika terdapat kemusykilan hasil dari pembacaan tersebut, penting untuk kita dapatkan penjelasan dan bertanya kepada pakar sesuatu bidang yang berkaitan dengan pembacaan tersebut bagi mengelakkan kesesatan dan berlakunya salah faham. Seperti kata pepatah “Malu Bertanya Sesat Jalan”. Di akhir zaman ini, dengan pesatnya perkembangan teknologi sekarang telah menyebabkan banyak fitnah, cerita palsu dan penipuan mudah tersebar. Kerana itu, adalah perlu untuk berhati-hati dalam memilih bahan bacaan lebih-lebih lagi kalau sumber bahan bacaan itu datang dari media elektronik.
Apabila menyebutkan perkataan media elektronik, aku mula teringat bagaimana aku mula berjinak-jinak dengan dunia teknologi maklumat satu ketika dulu. Ianya bermula ketika aku sedang mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer di UIAM, Gombak, Selangor. Sebenarnya aku tidak lulus ketika belajar disitu. Aku telah dibuang university (UIAM) setelah tiga kali gagal menaikkan CGPA 2.0 dalam jurusan kejuruteraan komputer ketika itu. Namun itu tidak bermakna aku sudah lupa dengan memori kenanganku sepanjang tempoh 5, 6 tahun aku belajar disitu. Banyak juga kenangan yang tidak dapat aku lupakan sepanjang aku belajar disitu. Walaupun aku gagal menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer disitu, aku tidak menyalahkan pihak university apalagi takdir atas apa yang berlaku. Bagi aku setiap orang sudah ditetapkan-Nya rezeki dan nasibnya masing-masing. Allah lebih tahu setiap apa yang berlaku pada hamba-hamba-Nya. Kita hanya mampu merancang dan berusaha dan terserahlah kepada Allah untuk menentukan apa yang terbaik buat hamba-hamba-Nya. Aku bersyukur dengan kehidupanku sekarang sebagai guru Kafa. Walaupun aku tidak mampu memegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer dan hanya mampu menjadi guru Kafa, tentu Dia lebih tahu hikmah disebaliknya. Lagipun masih ada sedikit asas ilmu kejuruteraan komputer yang masih aku ingat untuk aku aplikasikan dalam kehidupanku sekarang ini walaupun mungkin tidak banyak. Itu sudah cukup bagiku dan aku tidak akan patah semangat untuk belajar lebih banyak lagi walaupun dulu aku pernah gagal. Tambahan pula ramai lagi orang yang lebih bernasib malang daripadaku. Mungkin ada yang tidak mampu langsung menjejakkan kaki ke UIAM, yang miskin, hidup susah, ditimpa penyakit teruk, atau mati pada usia awal atau macam-macam lagi masalah lain yang lebih teruk daripada setakat dibuang university. Sekurang-kurangnya aku bersyukur kerana berpeluang untuk menjalani kehidupanku dan melalui pelbagai pengalaman pahit manis yang menginsafkan sebagai seorang penuntut ilmu kejuruteraan komputer di UIAM yang terletak berdekatan dengan kota besar Kuala Lumpur selama lebih lima tahun. Satu pengalaman yang tidak mampu aku lupakan sehingga ke hari ini. Kalau ingin diceritakan tentang segala memori aku disitu, ianya terlalu panjang untuk dituliskan disini. Mungkin boleh menjadi sebuah buku kalau ingin dituliskan mengenai pengalaman belajar disitu. Namun aku fikir tidak perlulah aku terlalu memikirkan mengenai peristiwa silam aku yang telah lama berlaku pada masa lalu memandangkan aku sudah cukup bahagia dengan hidupku sekarang. Kalau aku ingin fikirkan tentang perkara yang lepas pun biarlah ianya sebagai bekalan pengajaran untuk masa hadapan. Yang penting aku menjadi seorang Islam dengan ilmu agama yang lebih baik daripada dulu. Menjadi umat Islam yang lebih baik daripada dulu dan di masa hadapan lebih baik lagi daripada hari ini, itu yang perlu diutamakan. Kalau dulu semasa belajar di UIAM, ilmu agama aku terhad dan aku tidak begitu mengambil berat dengan bulan Ramadhan tapi sekarang aku lebih bersemangat terhadap bulan Ramadhan dan ilmu agama Islam. Semoga Allah S. W. T sentiasa memimpinku ke jalan yang diredhai-Nya. In sha Allah, Amin.
Subscribe to:
Posts (Atom)